Informasi

Rejuvenasi blog

Monday, November 17, 2008

Dua OKU buktikan kemampuan diri

PUTRAJAYA - Kekurangan fizikal bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya dalam sesuatu bidang yang diceburi.

Sebaliknya orang kurang upaya (OKU) harus tampil dan bersaing bersama masyarakat lain kerana hak mereka untuk bergiat dalam sesuatu bidang tidak pernah dihalang.

Percaya dengan kebolehan diri dan hasrat yang tinggi untuk maju seperti insan lain mendorong Mat Jamil Ramli berusaha tanpa jemu dalam bidang seni lukis dan grafik yang sangat digemarinya.

Walaupun dilahirkan tanpa kedua belah tangan, namun dua pasang kaki yang dikurniakan menonjolkan bakat beliau dalam melukis sehingga menerima Anugerah Belia FELDA Malaysia 2008 bagi kategori individu yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak pada satu majlis yang di adakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.

Bagi Mat Jamil, pengiktirafan yang diberikan tersebut menyuntik semangatnya untuk meneruskan minatnya melukis dan meneruskan kariernya.

“Saya sungguh terharu menerima anugerah ini kerana cabaran utama sebagai OKU seperti saya untuk maju adalah dari segi mendapatkan pekerjaan dan menunjukkan kebolehan dalam bidang yang diminati.

“Namun walaupun sukar, saya yakin pada kebolehan diri dan akhirnya setelah dua tahun merantau di Kuala Lumpur seorang diri, kini saya telah diterima bekerja sebagai pereka grafik di Pasaraya Carefour,” katanya.

Seorang lagi OKU yang menerima pengiktirafan pada majlis tersebut atlit boling Paralimpik Perak, Muhamad Mat Nayan.

Menurut Muhamad, warga OKU perlu tampil menonjolkan kelebihan masing-masing mengikut kecenderungan mereka.

“Saya sendiri sangat menggemari bidang sukan dan telah menceburi beberapa sukan lain seperti maraton, renang dan sebagainya. Bagi mereka yang meminati pertanian ataupun sebagainya, teruskan usaha.

"Semoga satu hari nanti berkat usaha tersebut akan dilihat melalui pengiktirafan seperti yang saya terima hari ini (semalam),” katanya.

Pada majlis tersebut seramai 40 belia dari FELDA menerima Anugerah Belia FELDA Malaysia 2008 yang membawa pulang wang sebanyak RM1,500 setiap orang, piala dan sijil.

Bagi kategori persatuan pula, 15 persatuan menerima pengiktirafan yang membawa pulang wang sebanyak RM4,000, sijil dan piala manakala bagi kategori khas, Anugerah Tokoh Generasi Baru FELDA Malaysia 2008 diterima Wan Salman Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka.

Hadir sama sebagai Ikon Belia FELDA Malaysia ialah Angkasawan Negara, Mejar Faiz Khalid, Penakluk Artik dan Antartika Pertama Dunia, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, pakar motivasi tersohor, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan kumpulan nasyid, Raihan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/selangor

0 comments:

 

SELANGOR LINK Design by Insight © 2009