Informasi

Rejuvenasi blog

Wednesday, July 30, 2008

Dialog Kg Baru : Milik Selangor atau DBKL

0 comments

Herman Samsudeen
Wed | Jul 30, 08 | 2:41:48 pm MYT

Ahli Parlimen Titiwangsa (PAS), Dr. Lo'lo' Mohamad Ghazali akan menganjurkan Majlis Dialog Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato` Abd Khalid Ibrahim bersama Wakil dan waris-waris tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Majlis ini akan berlangsung pada 3 Ogos 2008, 2.00 petang di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Majlis ini bakal membahaskan isu berkenaan "Masa Depan Kg. Baru: Bersama Selangor atau DBKL". Tajuk ini dipilih memandangkan terdapat beberapa pertikaian tentang status tanah-tanah rizab Kampung Baru, yang sebahagiannya masih lagi tertakluk di bawah undang-undang Kerajaan Selangor.

Walaupun tanah-tanah Kampung Baru ditadbir urus Malay Agriculture Settlement (MAS), namun dari segi pelaksanaan dasarnya segala urusan diserahkan kepada DBKL.

Mengikut perlembagaan MAS, Pengerusinya haruslah Menteri Besar Selangor sebagai wakil Kerajaan Selangor. Tapi apa yang berlaku kini, pengerusinya adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang berkhidmat di bawah Kerajaan Persekutuan bukannya Kerajaan Selangor.

Perkara-perkara pokok yang bersangkutan dengan undang-undang ini sering menjadi batu penghalang bagi usaha membangunkan Kampung Baru.

Oleh itu, dialog ini dianjurkan bagi membuka ruang untuk semua pihak memahami status tanah, tanggungjawab dan hak mereka, khususnya dalam menimbangkan cadangan DBKL yang kini telah melancarkan Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 untuk penilaian rakyat.

Adakah DBKL berhak menyentuh tanah Kampung Baru? Apakah kuasa Kerajaan Selangor ke atas Kampung Baru? siapa yang berhak untuk membangunkan Kampung Baru, Selangor atau DBKL?

Untuk mengetahui jawapannya, para wakil dan waris pemilik tanah adalah dijemput hadir bagi mendengar sendiri pandangan Menteri Besar Selangor tentang isu tanah dan pembangunan Kampung Baru.

(Penulis adalah Setiausaha Politik Dr. Lo'lo' Dato' Hj. Mohamad Ghazali)

Sunday, July 27, 2008

PEMIMPIN ISLAM DAN NEGARA ISLAM (Suatu Analisa)

0 comments
Sesebuah negara, walaupun bermasyarakat plural (majmuk) dan mempunyai kepelbagaian agama dan budaya, namun apabila majoriti rakyatnya beragama Islam, dipimpin oleh penguasa yang beragama Islam, keselamatan, kekuatan dan pertahanan masih dikuasai oleh pemimpin Islam, pemimpinnya masih mendirikan solat, laungan suara azan masih terus berkumandang dan penguasa masih menguasai urusan kaum Muslimin, maka ia dinamakan negara Islam. Petanda negara Islam yang dijelaskan oleh Imam Nawawi dan Imam Ahmad yang disebut di atas, dalilnya diambil dari beberapa buah hadis sahih, antaranya sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

سَيَكُوْنُ بَعْدِيْ اُمَرَاءُ ، فَتَعْرِفُوْنَ وَتُنْكِرُوْنَ ، فَمَنْ اَنْكَرَ فَقَدْ بَرِىءَ ، وَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ سَلِمَ ، وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ ، قَالُوْا : اَفَلاَ نُنَابِذُهُمْ بَالسَّيْفِ ؟ قَالَ : لاَ ! مَااَقَامُوْا فِيْكُمُ الصَّلاَةَ.

“Akan ada selepas peninggalanku nanti pemimpin yang kamu mengenalinya dan mengingkari kejahatannya, maka sesiapa yang mengingkari kejahatannya (bermakna) dia telah berlepas diri dan sesiapa yang membenci kejahatannya dia telah selamat, akan tetapi orang yang meredhai kejahatannya akan mengikuti kejahatannya. Apakah tidak kita perangi mereka dengan pedang (wahai Rasulullah!) ? Baginda menjawab: Jangan! Selagi mereka masih mendirikan solat di kalangan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim 6/23)

Dengan penjelasan hadis ini, menurut perspektif ulama Salaf as-Soleh dan Ahli Hadis, suatu negara dinamakan negara Islam apabila tanda besar iaitu azan dikumandangkan dan solat ditegakkan. (Al-Manhaj as-Salafi inda Nasruddin al-Albani. Hlm. 215. Amru Abdul Mun’im Salim) Tanda seterusnya ialah larangan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memeranginya dengan pedang (haram menjatuhkannya) .

Dalam konteks ini, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam menyeru agar bersabar terhadap pemimpin dan penguasa selagi mereka bersolat, kerana ia adalah makna keIslaman yang pertama sekalipun tidak berhukum dengan hukum Islam, kerana petanda dan bukti utama seseorang itu pemimpin Islam adalah solatnya sebagaimana sabda baginda:

عَنْ اَبِى اُمَامَةَ الْبَاهِلِيْ ، عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيَنْقُضَنَّ عُرَى اْلاِسْلاَمِ عُرْوَةً وَكُلَّمَا اِنْقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّتَ النَّاسُ بِالَّتِىْ تَلِيْهَا وَاَوَّلُهُنَّ نَقْضَ الْحُكْمُ وَآخِرُهَا الصَّلاَةُ.


"Dari Abi Umamah al-Bahili, dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam baginda bersabda: Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Apabila lepas satu ikatan akan dikuti oleh ikatan berikutnya. Ikatan Islam yang pertama kali lepas adalah hukum dan yang terakhir adalah solat". (Hadis Riwayat Ahmad. 5/251)

Hadis ini membuktikan bahawa tidak boleh dihukum kafir setiap individu atau pemimpin jika masih mendirikan solat. Dan sesebuah negara dinamakan negara Islam jika masih terdengar suara azan, solat masih didirikan dan dikuatkan lagi jika majoriti rakyatnya beragama Islam kerana hadis di atas menjelaskan: “Dan (tanda) terakhir adalah solat”.

Al-Ismaili rahimahullah berkata:

“Kaum Salaf berpendirian, bahawa sesebuah negara dinamakan negara Islam selagi masih ada panggilan untuk solat (azan) dan didirikan solat dengan terang-terangan serta penduduknya (rakyatnya) sentiasa mendirikan solat dengan bebas (aman)”. (Lihat: Iktiqad Aimmatu Ahlu Hadis, hlm. 50)

Para pemimpin adalah penguasa yang mampu menggunakan kuasa mereka melaksanakan pemerintahan berasaskan prinsip siyasah as-syariyah. Para ulama pula adalah terminal ilmu yang mampu dan diberi mandat membentuk akidah dan pemikiran ummah ke arah pemahaman siyasah Islamiyah (siyasah as-syariyah yang lebih berdisiplin lagi profesional. Ulama telah diwajibkan oleh syara bekerjasama dengan pemimpin.

Dipikulkan ke atas mereka tanggungjawab sosial mentarbiyah ummah agar mentaati pemimpin demi mengelakkan perpecahan serta menghapuskan fitnah di kalangan masyarakat. Maka sesebuah negara itu dinamakan negara Islam apabila ulama dan umara (pemimpin) bekerjasama membangun rohani dan jasmani, fizikal dan mental serta untuk pembangunan dunia dan akhirat.

Penamaan negara atau negeri Islam bukan hanya menerusi perundangan, hudud atau peraturan jenayah (kriminal). Malah meliputi bidang-bidang dan aspek yang luas. Khalifah Umar bin Khattab radiallahu ‘anhu berkata:

“Wahai rakyatku! Kamu mempunyai hak ke atas kami untuk menasihati pada perkara-perkara yang kami tidak ketahui, dan hendaklah kamu saling membantu (tolong-menolong dan bekerjasama) dalam kebaikan”. (Lihat: Az-Zuhud 2/602. Hannad)


Tiga perkara yang ditekankan oleh Khalifah Umar untuk membangun ummah dan daulah Islamiyah, iaitu:

1 - Merialisasikan hak individu terhadap pemerintah.
2 - Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui.
3 - Saling membantu dalam kebaikan.

Perkara kedua yang disebut oleh Khalifah Umar dalam kata-katanya di atas: “Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui”. Ini merupakan suatu konsep untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat secara bermuzakarah, bermusyawarah dan berlapang dada. Ia menjadi gagasan membuka minda dalam usaha merialisasikan sebuah negara Islam. Iaitu negara Islam yang membangun bersama rakyat untuk mencapai kemakmuran dan keharmonian.

Oleh kerana inilah kita sering mendengar ungkapan yang berbunyi:

“Bahawa agama dan penguasa adalah seumpama dua sisi mata yang tidak boleh terpisah. Apabila diangkat salah satunya, maka akan terangkatlah yang lainnya, kerana agama itu bagaikan asas bangunan, sedangkan penguasa seperti penjaga asas tersebut. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya akan lenyap dengan cepat”. (Lihat: Ruhul Ma’ani 1/174. Cetakan Al-Muniriyah. Lihat: Al-Bahrul Mihit. 2/269. Abi Hayyan)

Termasuk tanda-tanda negara Islam ialah apabila ulama diberi ruang berada di samping pemimpin Islam, kerana agama dan pemimpin (politik) tidak dapat dipisahkan. Berkata Abu Abdillah al-Qala’i as-Syafir rahimahullah:

“Keseimbangan urusan agama dan dunia adalah satu tujuan yang sangat diidam-idamkan. Hal ini tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya penguasa (pemimpin). Kalau kami tidak memandang wajib adanya penguasa, pasti hal ini akan menyebabkan manusia berada di dalam perselisihan dan kerusuhan yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat. Kalau manusia tidak mempunyai pemimpin yang kuat dan ditaati, pasti akan pudar kemuliaan Islam lalu lenyap tak berbekas. Jika umat tidak mempunyai penguasa yang berdaulat, pasti akan lenyap aktiviti-aktiviti ibadah dan terhentilah perdagangan impot-eksport” . (Lihat: Tahzib ar-Riysah. Hlm 95. Lihat: Majmu al-Fatawa 27/390. Ibn Taimiyah)

Termasuk tanda negara Islam ialah apabila pemimpin dan ulama sentiasa bekerjasama dan sentiasa saling hormat menghormati, kerana inilah asas kesejahteraan agama, keutuhan politik (siyasah), keselamatan, perpaduan dan keharmonian rakyat, inilah juga penyebab pemimpin dan ulama dihormati. Sahl bin Abdullah at-Tusturi rahimahullah berkata:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan jika masih menghormati pemerintah dan ulama. Jika mereka menghormati dua komponen umat Islam ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Seandainya mereka meremehkan dua komponen ini, akan rosaklah kepentingan dunia dan akhirat mereka”. (Dikutip dari khutbah Syeikh Uthaimin. Lihat: Huquq Ra’ii war-Ra’iyyah)

Dianggap negara Islam jika pemerintah (umara) yang sedia ada masih bekerjasama dengan ulama kerana tindakan sedemikian bersesuaian dengan tugas dan kehendak para nabi, para rasul, para sahabat dan para ulama pewaris nabi. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menjelaskan peranan para ulama bersama umara (pemimpin) dalam mengurus sesebuah negara yang pada mulanya adalah tugas para nabi:

كَانَتْ بَنُوْ اِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ اْلاَنْبِيَاءُ ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ وَاَنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِيْ ، وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءَ فَيَكْثِرُوْنَ قَالُوْا : فَمَا تَاْمُرُنَا ؟ قَالَ: اَوْفُوْا بِبَيْعَةِ اْلاَوَّلِ فَاْلاَوَّلِ ، اَعْطُوْهُمْ حَقَّهُمْ ، فِاِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

"Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi mereka. Setiap kali seorang Nabi wafat digantikan oleh Nabi berikutnya. Dan sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahku, tetapi akan ada para pemimpin (yang beragama Islam), mereka banyak (jumlahnya). Para sahabat bertanya: Apa yang engkau perintahkan kepada kami (apabila itu terjadi)? Nabi bersabda: Patuhilah pemilihan (pemimpin yang beragama Islam) yang pertama, berikanlah oleh kamu hak mereka kepada mereka, kerana Allah akan menanyakan kepada mereka apa yang menjadi tanggungjawab mereka". (H/R Bukhari 5/401. Muslim 3/1471. Ibn Majah 2/958. Ahmad 2/297)

Ibnu Jarir rahimahullah berkata:

“Perkataan yang paling utama dan benar di dalam hal ini (negara Islam) adalah perkataan yang mengatakan bahawa Ulil Amri adalah para pemimpin dan penguasa (beragama Islam). Hadis-hadis dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam perintahnya untuk taat kepdaa para pemimpin dan penguasa (Islam) statusnya adalah sah belaka. Dalam ketaatan kepada mereka adalah kemaslahatan bagi kaum muslimin”. (Lihat: Tafsir at-Tabari, 5/150)

Kejahatan, penindasan atau kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin tidak akan menghilangkan status negara yang dipimpinnya sebagai negara Islam jika ia masih bersolat, seperti dosa besar dari perzinahan yang dilakukan oleh seorang individu tidak akan menjadikan ia seorang kafir selagi dia solat, mengaku sebagai seorang muslim dan masih mengucap dua kalimah syahadah. Kerana Rasulullah telah bersabda :

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: Tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah. Apabila mereka telah mengucapkan yang demikian, maka darah dan harta mereka terlindung kecuali dengan haknya, sedangkan perhitungannya kembali kepada Allah”.

Di hadis yang lain baginda bersabda:

“Barangsiapa mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, maka darahnya haram ditumpahkan”.

Kenyataan dari hadis-hadis di atas membuktikan bahawa tanda keIslaman seorang individu termasuk penguasa atau pemimpin tidak boleh diukur pada kezaliman, kejahatan atau pelanggarannya terhadap batasan hukum-ahkam syara, tetapi solat dan pengucapan kalimah syahadahnya. Maka mereka adalah ahli kiblah dan penguasa (pemimpin Islam) yang tidak boleh dikafirkan. Malah wajib ditaati dan dipelihara kehormatan serta maruahnya

Kenyataan ini telah dijelaskan juga oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu:

“Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya: Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata: Sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat…….” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang sahih sampai kepada Ali bin Abi Talib. Lihat: asy-Syu’ab)

Menurut Muhammad Abu Zahrah:

“Darul Islam (negeri atau negara Islam), setiap negara yang diperintah dan dikuasai oleh Islam (umat Islam), iaitu kekuatan dan pertahanan negara berada di bawah kekuasaan umat Islam. Inilah bentuk negara yang wajib dipertahankan oleh setiap umat Islam”. (Abu Zahrah hlm. 377)

Dari Iyas bin Muawiyah, beliau telah berkata tentang pemimpin Islam dan sikap pemimpin Islam terhadap rakyat, begitu juga tentang sikap rakyat terhadap pemimpin mereka:

“Manusia sewajarnya memiliki tiga perkara, Pertama: Mereka sewajarnya mempunyai jalan raya untuk pengangkutan yang aman (selamat). Kedua: Mereka sewajarnya mempunyai pemimpin yang adil supaya dapat menegakkan pelaksanaan hukum. Ketiga: Mereka sewajarnya mempunyai pertahanan yang kuat untuk membenteng diri dari musuh. Apabila ketiga-tiga perkara ini telah ditegakkan oleh pemimpin (penguasa), maka rakyat (sewajarnya ada sikap tanggungjawab) memikul selain tiga perkara tersebut, kemudian menahan kesabaran atas sikap monopoli pemimpin (penguasa) dalam ekonomi dan sikap yang tidak terpuji”. (asy-Syu’ab. H/R al-Baihaqi)

Antara petanda sesebuah negara itu dinamakan negara Islam ialah pemimpinnya Islam dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam. Antara ciri-ciri pemimpin Islam yang wajib ditaati ialah pengakuannya serta pengucapan dua kalimah syahadahnya. Dan tanda yang paling besar ialah solatnya dan laungan azan masih berkumandang di negara tersebut sebagaimana dinyatakan oleh hadis-hadis sahih. Oleh itu, apabila seorang muslim dipilih dan dilantik dengan kesepakatan ummah (majoriti rakyat) sebagai pemimpin maka ia adalah pemimpin bagi sebuah negara Islam, ia wajib ditaati. Berkata al-Imam al-Hasan bin Ali al-Barbahari rahimahullah tentang negara dan pemimpin Islam:

“Barangsiapa memegang jawatan kepimpinan atas kesepakatan dan keredhaan kaum Muslimin, maka dia adalah pemimpin Mukmin. Tidak halal bagi seorang pun hidup walaupun satu malam sementara dia tidak mempunyai seorang pemimpin yang baik atau yang jahat. Beginilah yang diserukan oleh Imam Ahmad”. (as-Sunnah. Al-Barbahari)

Syara telah mengharamkan menentang dan memberontak terhadap pemimpin negara Islam yang beragama Islam, atau orang kafir yang telah dilantik oleh pemerintah Islam yang mewakili pemerintah Islam. Islam mengajar sabar terhadap pemerintah dan pemimpin yang tidak disukainya walaupun ia melakukan kezaliman selagi beragama Islam, mengucap dan mendirikan solat, atau terhadap pemimpin bukan Islam yang di bawah naungan pemerintah Islam, maka mereka wajib dipatuhi. Dalam hal ini Syeikh al-Uthaimin berkata:

“Ketahuilah bahawa orang yang belot terhadap pemerintah yang sah, pada hakikatnya telah menjadi hamba musuh-musuh Islam. Pemberontakan atau semangat meluap-meluap bukanlah suatu pelajaran yang bijak, tetapi yang harus kita ambil menjadi pelajaran adalah hikmah (mengikuti sunnah). (Huquq Ra’i war-Ra’iyah. Kumpulan Khutbah al-Uthaimin)

WUJUDKAH PEMIMPIN, RAKYAT & NEGARA YANG MAKSUM?

Sememangnya di setiap negara Islam, tidak akan lahir lagi walau seorang nabi atau rasul untuk menyatukan, memimpin dan memerintah umat secara siyasah syariyah (berhukum dengan hukum syarii) secara utuh sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tetapi pengganti dan pewarisnya untuk melanjutkan seluruh tugas tersebut ialah para penguasa atau pemimpin Islam yang dipilih oleh rakyat secara sah yang ditunjangi oleh para ulama yang ikhlas.

Namun, setiap negara Islam akan teruji dengan adanya gerakan yang menggolongkan diri mereka kumpulan ulama, mereka menjamin kononnya kalau mereka memerintah, mereka akan melaksanakan undang-undang Islam atau hudud. Persepsi mereka hanya dengan melaksanakan hudud sahaja telah sempurna tuntutan sebuah negara Islam. Mereka lupa atau jahil bahawa hudud hanya sebahagian dari tuntutan hukum-ahkam Islam yang syumul, global dan luas.

Mereka menyangka pasti akan hapus segala kezaliman, maksiat dan jenayah, termasuklah perbuatan yang dianggap dosa-dosa besar seperti riba, rasuah, arak, pencurian, perzinahan (termasuk perkosaan, rogol atau sumbang mahram) dan sebagainya apabila undang-undang hudud dilaksanakan. Inilah penipuan kalau bukan angan-angan kaum Khawarij yang sombong dan takbur.

Sebenarnya di sebalik berbagai-bagai janji golongan Khawarij (yang ramai ulama suk berkumpul di dalamnya) kepada rakyat terdapat matlamat ingin menumbangkan pemerintah, mereka mencemburui negara Islam yang telah wujud yang tidak berjenama dan berfikiran sebagaimana yang mereka kehendaki. Mereka menuduh negara yang tidak berhukum dengan undang-undang Islam adalah kafir sama ada pemimpin atau rakyat yang menyokongnya. Mereka menyempitkan pensyaratan negara Islam terbatas pada hukum (hudud) semata.

Tidak akan wujud pemimpin dan kepimpinan yang maksum (terpelihara dari membuat dosa) atau rakyat yang maksum. Tetapi persepsi orang jahil membayangkan bahawa hanya dianggap sebagai negara Islam setelah benar-benar tidak berlaku jenayah dan maksiat seperti perzinahan, riba, pencurian, rasuah dan sebagainya, sama ada dilakukan oleh pemimpin atau rakyat jelata. Mereka menyebarkan propaganda bahawa itu semua akan hapus setelah dilaksanakan undang-undang Islam (hudud). Tidakkah mereka tahu bahawa sangkaan mereka itu tidak tepat, kerana di zaman Nabi Muhammad (Nabi yang maksum) walaupun hudud telah berkuat-kuasa namun perzinahan masih ada sehingga terlaksana hukum sebat, pencurian masih terjadi sehingga berlaku hukum potong tangan, minum arak masih berlaku sehingga dilaksanakan hukum rotan dan sebagainya.

Negara khayalan kaum Khawarij dan orang jahil merupakan sebuah negara malaikat, ia tidak akan wujud kerana manusia tidak akan berubah menjadi malaikat.

Kejahatan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, maka para ulama sebagai pewaris nabi diwajibkan bekerjasama dengan para pemimpin atau penguasa untuk mentasfiyah dan mentarbiyah ummah Islamiyah supaya dapat memahami akidah, hukum-ahkam ibadah dan siyasah Islamiyah. Kerana dengan cara ini dapat membendung gejala fahaman dan iktikad songsang termasuklah dalam persoalan siyasah agar tidak bertentangan dengan kehendak syara.

Amat tidak praktis jika terjadi di negara yang dipimpin oleh penguasa (pemimpin Islam) wujud ulama yang berwenang menyeru rakyat menentang penguasa dan pemimpin lantaran dosa-dosa yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat, kerana penentangan terhadap pemerintah amat bertentangan dengan sunnah.

Ulama dan umara perlu berdedikasi membentuk akidah sebagai asas pembangunan rohani, pembetulan ibadah, jiwa dan sikap rakyat terhadap pemimpin atau penguasa, terutamanya generasi muda yang terpelajar agar mereka tidak tersilap menganut fahaman siyasah songsang yang telah menimpa kebanyakan generasi muda pada masa ini. Melalui pendidikan akidah, ibadah dan disiplin ilmu disemua bidang, pastinya mereka mampu menghadapi apapun cabaran masa depan yang akan dihadapi oleh pemimpin dan negara. Ibnu Qutaibah meriwayatkan dari Ka’ab al-Akhbar, dia berkata:

“Islam, penguasa (pemimpin) dan rakyat laksana khemah, tiang dan tali khemah dan kayu pancang khemah (tonggak khemah). Islam diibaratkan khemah, pemimpin diumpamakan sebagai tiangnya, sedangkan rakyat seperti tali dan tonggak khemah, sebahagiannya tidak akan berdaya tegak kecuali dengan sokongan yang lainnya”. (Uyun al-Akhbar. Dengan sanad dari Ka’ab al-Akbar)

Membiarkan arah siyasah ummah Islamiyah tanpa bimbingan, tidak berwawasan yang dinamik, terbiar tanpa ada hala-tuju dan panduan manhaj (metodologi) , pasti akan mengakibatkan konsekuensi pola hidup bersiyasah umat yang amat bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang terus terbiar tanpa konsepsi yang jelas akan kecundang, mudah menyimpang dan mudah menyemai permusuhan, perbalahan dan perpecahan sesama rakyat. Adanya keadaan seperti ini akan membuka peluang kepada musuh-musuh Islam memusnahkan nikmat kemakmuran duniawi, keamanan, keharmonian, kemaslahatan umum dan akidah mereka. Oleh itu, penguasa dan ulama sewajarnya bertindak sebagaimana yang dinasihatkan oleh Imam al-Qarafi rahimahullah:

“Ada kaedah yang mengatakan bahawa memelihara kemaslahatan umum adalah wajib, hal ini tidak akan terwujud kecuali adanya penghormatan rakyat kepada penguasanya. Bilamana terjadi penentangan serta penghinaan terhadap mereka, maka akan terhalanglah pintu kemaslahatan umat”. (Az-Zakhirah 13/234. Cetakan Darul al-Islami)"

Saturday, July 26, 2008

Selangor terap budaya cintakan ilmu melalui Pesta Buku

0 comments
Sat | Jul 26, 08 | 12:36:55 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor menjadikan Pesta Buku Selangor 2008 yang dibuka dengan rasminya hari ini sebagai wadah berguna untuk menanam budaya cintakan ilmu di kalangan masyarakat setempat.
Pesta ini adalah usaha proaktif kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Pelajaran Negeri, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Jabatan Penerangan, Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia dan pelbagai agensi yang lain.

Ketua Bahagian Maklumat dan Penyelidikan PPAS Sarwani Abdul Jalal dalam satu laporan Bernama hari ini berkata, pesta buku seumpama ini merupakan medium terbaik dalam usaha membudayakan masyarakat berilmu di Selangor khususnya.

Pesta Buku ini akan berlangsung selama 10 hari di Kompleks PKNS Shah Alam dari 10 pagi hingga 9 malam dan majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abd Khalid Ibrahim hari ini./wann _

(sumber : harakahdaily)

Thursday, July 24, 2008

PERINTAH BERJUANG PADA JALAN ALLAH

0 comments
Allah Taala berfirman :
Wa qaatil fi sabilillah la tukalafu illa nafsak.... (Surah An Nisa` : 84)
Maksudnya : " Hendaklah kamu berperang atau berjuang pada jalan Allah, tidak diberatkan kecuali pada diri kamu dan digalakkan kepada orang mu`min. Moga-moga Allah mengkerasi orang kafir atau orang-orang engkar dan Allah itu adalah sangat keras dan sangat memberi amaran kepada mereka."

Di sini kita akan bahaskan beberapa perkara :
1.berjuang pada jalan Allah
2.tidak diberatkan kecuali diri kita
3.bagi orang mu`min digalakkan
4.moga-moga Allah mengkerasi orang kafir dan memberi amaran kepada orang kafir

A. Perintah berjuang pada jalan Allah

Tuhan suruh kita berperang atau berjuang pada jalan Allah. Apa jalan Allah?
Berjuang pada jalan Allah di sini maksudnya ada 2 perkara penting:

1. Promosikan Aqidah Tuhan:

Iaitu memperkenalkan Allah hingga aqidah orang betu, iaitu memperkenalkan Zat, sifat dan perbuatan Allah pada manusia. Itulah aqidah asas, tauhid asas. Supaya manusia selamat dari tersalah aqidah.

Kalau begitu yang kata berperang pada jalan Allah bukan untuk bunuh orang. Tapi orang tak nampak tugas ini. Yang ada, bila kata perang, mereka mau bunuh orang, mau pancung orang. Padahal patutnya untuk membetulkan aqidah orang yakni untuk fahamkan orang tentang Zat, sifat dan perbuatan Tuhan.

Selepas itu berjuang hingga orang menghayati aqidah yang betul tadi. Bila orang hayati aqidah yang tepat, maka orang takan takut dan cinta dengan Tuhan. Untuk membuat manusia takut dan cinta Tuhan, tak cukup hanya aqidah asas. Tapi kena diceritakan apa kebaikan Tuhan, apa yang Tuhan bagi pada kita, bagaimana Tuhan jaga kita bagaimana Tuhan menyelamatkan kita, dan cerita hingga nafas kita Tuhanpun bagi setiap masa.

Setiap bumi yang kita pijak adalah Tuhan punya; setiap nafas dari Tuhan; pandanglah apa saja semuanya Tuhan punya. Mata yang kita gunakan untuk itu semua pun Tuhan yang punya; mendengarlah apa saja menggunakan telinga yang Tuhan jadikan; bercakaplah sebanyak mana kita mahu sedangkan mulut itu Tuhan yang ciptakan ; kita makan dan minum nikmat dari Tuhan ; bekerja menggunakan tenaga dari Tuhan bila letih bekerja datang rahmat Tuhan kita mengantuk, tidur. Kita sudah rehat itu nikmat dari Tuhan bertenaga semula.

Janganlah ajar aqidah yang asas saja nanti orang tak takut dan cinta dengan Tuhan. Ceritakan apa lagi nikmat Tuhan, kebaikan Tuhan, baru tumbuh rasa cinta dengan Tuhan. Kita ingin berhibur Tuhan ciptakan lelaki dan perempuan. Dengan ada lelaki perempuan kita boleh berhibur. Kalau Tuhan buat lelaki saja atau perempuan saja sepi hidup ini. Tapi Tuhan beri nikmat ada lelaki dan perempuan terasa rahmatNya dari Tuhan. Ingin berhibur ada cara khusus Tuhan lakukan.

Begitulah caranya kita akan ceritakan begitu banyak nikmat hingga orang takut dan cinta Tuhan. Orang mengajar sifat 20 hanya sekadar untuk sahkan aqidah, sampai jemu bila dengar kelas sifat 20, jemu. Sedangkan cerita tentang Tuhan patutnya seronok, terasa Tuhan penyelamat, pelindung, terasa Tuhan segala-galanya, terasa tak boleh hidup tanpa Tuhan, Tuhan segala-galanya barulah orang rasakan ada Tuhan sangat terhibur.

Tapi diajar oleh tok guru kita jangan sampai orang rosak aqidah itu saja, tapi tak diajar sampai orang takut dan cinta Tuhan. Ini adalah satu kesalahan yang paling besar, sedangkan Tuhan itu kalau disyarahkan dengan baik orang rasa Tuhan itu keselamatan dunia akhirat, tiap hari kita harap jangan Tuhan tinggalkan kita, kita perlukan Tuhan, Tuhan adalah segala-galanya. Kita ada Tuhan, kita rasa kuat.

Mana ada orang ajar semua itu. Sebab itu bila dengar orang mengajar tauhid jemu. Bagaimana cinta dan takut Tuhan tak diajar? Ini adalah satu kesalahan. Jadi bila Tuhan kata kena berjuang pada jalan Allah maka promosi Tuhan untuk kenalkan Tuhan pada manusia supaya jangan tuduh Tuhan yang bukan-bukan supaya orang kenal betul Tuhan, lepas itu dilengkapkan seperti yang disebutkan tadi. Sebabnya, bagaimana, boleh membuat hingga orang takut dan cintakan Tuhan itulah apa yang dikatakn Tuhan ajak kita berjuang. Bukannya bila Mari berperang, berjuang! maka kita hendak bunuh orang, demonstrasi, lawan orang.

2. Promosikan syariat Tuhan:

Berjuang pada jalan Tuhan itu kita nak kenalkan pada manusia syariat Tuhan. Artinya cara hidup secara Tuhan atau perlembagaan Tuhan atau undang-undang Tuhan. Perkara aqidah di atas tadi tak begitu banyak perkaranya tapi kalau diceritakan dengan baik terasa indah, terasa kuat dapat Tuhan, terhibur dapat Tuhan.

Yang kedua ini syariat, cara hidup jadi banyaklah perkaranya. Walaupun banyak tapi Rasulullah saw memperjuangkannya 10 tahun sedangkan mempromosi Tuhan 13 tahun. Ini menunjukkan promosi dan perjuangkan Tuhan lebih utama dari memperjuangkan syariat. Itulah rahsia kebahagiaan.

Kita disuruh memperkenalkan syariat Tuhan dalam makan minum, dalam pergaulan, syariat mendidik manusia dalam keluarga, dalam perjuangan, dengan jiran, dalam berekonomi, dalam berkebudayaan, dalam hal perhubungan, dalam pentadbiran, segala perkara bahkan syariat juga menunjuk jalan kepada kita bagaimana cara menyelesaikan masalah dengan sebaik-baiknya. Syariat mengenai semua aspek kehidupan supaya jangan accident satu sama lain di situ ada unsur keselamatan, kasih sayang, kerjasama, rasa bersama, ada unsur-unsur perlu memerlu satu sama lain. Itu syariat Tuhan. Kalau benar-benar kenal Tuhan dan diperjuangkan kemudian dicampur syariat Tuhan maka lagi nampak Islam itu cantik. Sudahlah cantik kenal Tuhan dicampur syariat Tuhan. Terasa Tuhan penyelamat dunia akhirat, Tuhan dan syariatnya sangat diperlukan. Tapi mana diajar begitu rupa. Dalam syariat, yang diajar hanya halal-haram saja tapi falsafahnya, misal mengapa Tuhan suruh, mengapa Tuhan tegah, tak disebut. Tak disebut hikmahnya jadi orang terseksa dengan hukum Tuhan, tak seronok karena approach, pendekatan, penjelasan tak betul.

Jadi itulah yang Tuhan suruh berjuang maksudnya terhadap dua perkara:

- pertama promosikan aqidahNya
- kedua promosi syariatNya

Gabungan dua perkara ini akan terasa indah berTuhan dan indah bersyariat bahkan manusia rasa mabuk dengan Tuhan dan dengan syariat.

B. Maksud Tidak diberatkan kecuali diri kamu bagi orang mukmin digalakkan

Maksud Tidak diberatkan kecuali diri kamu artinya hendak berjuang itu kita dulu . Orang lain tak boleh dipaksa ikut berjuang. Untuk orang lain hanya boleh dibagi tahu, digalakkan, diajak sama, didorong. Bukan boleh dikasari, bukan boleh dipaksa-paksa.

Yang boleh adalah paksa diri kita. Orang lain hanya didorong, dipujuk, gembirakan mereka dengan perjuangan. Yang kena paksa itu diri kita bukan orang lain walaupun anak isteri, "jom berjuang tak mau kena tampar, kalau tak nak ikut, bunuh," jadilah militan. Itu tak boleh. Dalam ayat ini jelas yang dipaksa dan diberatkan adalah diri kita sedangkan orang lain digalakkan supaya cintakan perjuangan. Inilah peraturan dari Tuhan, ini cara Tuhan suruh kita bersyariat. Diri sendiri kita boleh paksa, orang lain digalakkan.

C. Moga-moga Allah mengkerasi orang kafir dan memberi amaran kepada orang kafir

Kalau berjuang begitu, rupanya untuk mengalahkan orang kafir bukan tugas kita. Untuk musnahkan orang kafir bukan bahagian kita tapi Tuhan. Kalau berjuang dalam hal mengalahkan musuh bukan kita tapi Tuhan buatkan. Tuhan yang akan menghukum setelah kita buat untuk Tuhan. Kenalkan orang pada ZatNya hingga orang suka dan cinta Tuhan dan kenalkan syariat. Iaitu kita buat kerja Tuhan, Tuhan akan buatkan untuk kita. Orang yang menentang Tuhan, yang akan memusnahkannya adalah Tuhan. Tuhan tahu bagaimana bertindak. Apa yang kita susahkan dengan hal Amerika kuat? orang berjuang mula fikir kekuatan Amerika, takut yahudi, sedangkan itu kerja Tuhan dan kerja kita, kita tak buat. Bila diajak berjuang kita takut mereka. Mereka banyak duit, kaya. Kalau mereka banyak duit, kaya itu bukan kerja kita tapi itu kerja Tuhan. Kerja kita ialah promosi Tuhan dan syariat Tuhan. Kalau selesai kerja kita maka 10x Amerika pun Tuhan boleh kalahkan. Kesilapan orang Islam hari ini bila kata berjuang nampak musuh yang kuat, nampak musuh yang jahat. Akhirnya orang Islam jadi lemah semangat ketakutan pada musuh. Padahal Tuhan suruh promosi Tuhan dan syariat Tuhan, kerja terhadap musuh Tuhan punya kerja, itu ketetapan Tuhan. Kalau buat yang Tuhan suruh maka Tuhan buat untuk kita.

Apa fakta yang berlaku dalam sejarah bila buat kerja kita Tuhanlah yang kalahkan musuh-musuhnya? Contoh zaman Nabi Musa. Nabi Musa kerja dia kenalkan kepada Firaun dan bani Israel tentang Tuhan. Itu kerja Nabi dan orang bertaqwa. Masa itu dia tak sentuh kerja Tuhan. Bila ditentang oleh Firaun dia tak ajak berperang tapi lari-lari (menghindar). Akhirnya setelah lengkap kenalkan Tuhan, Tuhan buat kerja orang beriman, tenggelamkan Firaun. Apakah Nabi Musa yang tenggelamkan Firaun?

Nabi Nuh berjuang memperkenalkan Tuhan, syariat Tuhan tapi kaumnya bermusuh dengan Nabi Nuh, susahkan dia dan pengikutnya tapi Nabi tak ajak orang-orangnya berperang. Akhirnya setelah buat kerja Tuhan maka Tuhan buat kerja Nabi nuh, datang banjir besar.

Rasulullah setelah berperang pada jalan Allah, buat kerja Allah, telah datang 3000 malaikat menolongnya. Tuhan buat untuk Rasul dan sahabat. Dalam perang Khandak Tuhan datangkan angin ribut hingga akhirnya lintang pukang, pecah belah musuh, bukan Rasul dan sahabat buat tapi Tuhan yang buat, setelah Rasul dan sahabat buat kerja Tuhan, nampak ini adalah peluang untuk orang berjuang.

Mengapa kita takut dengan musuh bila perkenalkan Tuhan dan syariat? Hadapi musuh bukan kerja kita, itu kerja Tuhan yang kuasaNya tak terbatas. Apa kita takut? Seolah-olah kita bincang dengan Tuhan aku buat kerja aku, Engkau akan buat untuk aku. Kita hairan bagaimana orang boleh jadi militan dan ganas? Kenapa sebut berjuang tak fikir untuk kenalkan Tuhan hingga orang takut dan cinta pada Tuhan? Supaya hasil perjuangan kita orang akan rasa indah, aman damai?
 

SELANGOR LINK Design by Insight © 2009