Informasi

Rejuvenasi blog

Wednesday, August 26, 2009

Gembira bersama ramadhan

Mukmin gembira dengan kehadiran Ramadhan

WAHAI hamba-hamba Allah saya berpesan kepada anda dan juga diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah SWT, maka berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Carilah bekalan, sesungguhnya sebalik-baik bekalan ialah taqwa.

Muslimin sekalian! Marilah kita menjadi tetamu Allah Taala di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini, satu bulan yang terkandung di dalamnya banyak hadiah daripada Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman. Pada bulan ini bukan sahaja kita diperintahan melakukan ibadat puasa yang menjadi salah satu rukun Islam malah kita digalakkan melakukan amalan-amalan sunat.

Pada bulan Ramadhan kita digalakkan memperbanyakkan doa kerana di dalam bulan ini diperkenankan doa oleh Allah Taala. Kita juga digalakkan memperbanyakkan sedekah kerana bulan Ramadhan mengajar kita bersimpati kepada golongan miskin.

Kita diminta supaya bersyukur kepada Allah Taala di atas nikmat yang dikurniakan kepada kita kerana kuasa seseorang yang sentiasa senang dan kenyang itu tidak dapat menilai nikmat kenyang dan senang kecuali merasai kesusahan dan menderitakan lapar dan dahaga. Di malam hari pula digalakkan mengerjakan amalan sunat seperti solat Tarawih dan lain-lain lagi.

Kelebihan bulan Ramadhan disebut di dalam hadith Rasulullah s.a.w. ertinya: Dipermulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan diakhirnya dibebaskan daripada neraka.

Allah Taala mewajibkan ke atas kita berpuasa menahan diri daripada makan dan minum dan melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar dan berakhir dengan terbit matahari dengan niat yang ikhlas hanya kepada Allah Taala sahaja.

Kelebihan ibadat puasa dinyatakan oleh Allah Taala melalui Rasulullah s.a.w. dalam hadith qudsi dengan firmanNya: Setiap amalan anak Adam itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi aku dan akulah yang akan membalasnya.

Setiap amalan kebaikan akan dibalas oleh Allah Taala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dan akan mencapai tujuh ratus kali ganda kecuali ibadat puasa, yang mana Allah Taala tidak menyebut berapakah ganjarannya. Berapa kali ganda ganjaran pahala puasa terpulanglah kepada Allah Taala sendiri untuk membalasnya.

Ibadat puasa bukan sahaja memberi pahala yang tidak ada batasan namun yang lebih penting itu ialah hikmah yang besar daripada ibadat puasa iaitu melahirkan sifat taqwa. Firman Allah Taala ertinya: Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang -orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.

Sifat taqwa itulah mendorong kita melakukan perintah Allah Taala dan meninggalkan larangannya dan menjadi sebati di dalam diri kita. Sifat taqwa itulah yang menentukan martabat diri manusia di sisi Allah Taala. Nilai manusia di sisi Allah Taala bukannya harta benda, pangkat, warna kulit dan keturunan tetapi taqwa. Firman Allah Taala ertinya:

Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali di antara kamu. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Taala ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.

Pentingnya taqwa di dalam diri manusia sehingga pesanan supaya bertaqwa menjadi rukun di dalam mana-mana khutbah Jumaat, khutbah dua hariraya dan lain-lain.

Umar bin al-Khattab r.a. pernah bertanyakan Ubai bin Ka'ab hakikat taqwa. Ubai bin Ka'ab bertanya semula Umar bin Al-Khattab: Adakah Amir Mukminin pernah berjalan di atas jalan yang penuh dengan duri? Jawab Umar: Ya. Ubai bertanya lagi : Bagaimana cara Amirul Mukminin berjalan? Jawab Umar: Saya jalan dengan berhati-hati agar kaki saya tidak terpijak duri. Kata Ubai: Itulah hakikat taqwa.

Taqwa memberi erti berhati-hati di dalam hidup dengan melakukan segala suruhan Allah Taala dan meninggalkan segala laranganNya.

Semua perkara yang diperintah dan perkara dilarang oleh Allah Taala terdapat di dalam al-Quran dan dihuraikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadithnya. Oleh itu menjadi satu hikmah yang besar apabila peristiwa Nuzul Quran di dalam bulan Ramdhan. Allah Taala memerintahkan para Malaikat berarak ketika al-Quran diturunkan daripada Luh Mahfuz ke langit dunia. Dan Kemudian al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun daripada langit dunia kepada Rasulullah s.a.w.

Peristiwa Nuzul Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia diabadikan di dalam Al-Quran ertinya:

Bulan Ramadhan yang kami turunkan di dalamnya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan penjelasan daripada petunjuk dan yang membezakan.

(Surah al-Baqarah ayat 185)

Firman Allah Taala ertinya: Sesungguhnya Kami turunkan Al-Quran) pada malan yang berkat. Malam yang berkat itu ialah dijelaskan oleh firman Allah Taala yang ertinya:

Sesungguhnya kami turunkan (al-Quran) pada malan Qadar. Tahukah kamu apa itu malam Qadar? Malam Qadar ialah malam yang lebih baik daripada seribu malam.

(Surah al-Qadar ayat 1-3).

Marilah kita menghormati bulan Ramadhan bukan sahaja dengan melakukan amalan wajib dan amalan sunat, hendaklah juga kita membentuk diri kita dengan sifat ubudiyyah kepada Allah Taala bukannnya mengikut apa yang dipilih oleh hawa nafsu.

Ramadhan mengajar kita bahawa taat kepada Allah Taala dan meninggalkan laranganNya lebih penting daripada segala yang penting di dalam hidup. Kita sanggup tinggalkan makan dan minum di dalam bulan Ramadhan walau pun makan dan minum merupakan keperluan yang penting di dalam hidup manusia. Oleh kerana ianya perintah Allah Taala maka ia hendaklah didahulukan dan ditinggikan mengatasi segala yang lain dalam dunia ini. Moga-moga Allah Taala jadikan kita orang-orang yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil peluang daripada Ramadhan.

Sekiranya kamu berpuasa maka puasa itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.

(maksud surah al-Baqarah ayat 184).

0 comments:

 

SELANGOR LINK Design by Insight © 2009